Kebesaran Selawat

JALAN MENUJU KE SYURGA

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala puji dan syukur kehadrat Allah, Tuhan yang memiliki segala Sifat-sifat Ketinggian dan Kebesaran. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi kita Muhammad S.A.W serta sekalian para sahabat yang mulia serta seluruh ahli keluarga Baginda sekaliannya. Redho Allah dan Rasul-Nya serta seluruh para Malaikat-Nya kehadrat sekalian para Auli'a Rantaian Keemasan Tarekat Naqshbandiah Al'aliyyah khususnya Mursyid Agong Maulana Sheikh Muhammad Nazim Adil Al-Haqqani dan seluruh para wali dari timur hingga barat serta sekalian para ulamak yang mewarisi ciri-ciri kenabian.

Mengingati bahawa bertapa pentingnya bagi kita yang mengucap dua kalimah syahadah yang mengaku bahawa kita beragama Islam dan mengaku bahawa kita ummat Nabi Muhammad S.A.W tidak kira tua atau muda dan apa pangkat sekalipun di dunia ini maka wajiblah atas kita mengetahui dan memahami lebih lanjut lagi tentang selawat dan bermaulid keatas Nabi kita S.A.W dalam hubungkaitnya dengan riwayat, manfaat serta kelebihan dan dalil-dalil ambilan para ulamak yang muktabar di atas hal yang disebut. Ini adalah salah satu cabang ataupun ibadat yang semestinya dititikberatkan oleh setiap manusia yang mengaku mencintai Nabi S.A.W.

Ingatlah wahai sekalian manusia...! siapakah kita disisi Allah tanpa insan yang bernama Muhammad ibni Abdullah. Cinta Rasul akan membawa kita ke syurga. Ini kerana, kasih dan cinta Allah pada kita bergantung kepada kasih dan cinta kita kepada Kekasih-Nya, Muhammad S.A.W. Allah Hu Akbar...

Maka ruang ini sedikit sebanyak akan menzahirkan hal-hal yang disebut untuk dijadikan manfaat serta pengajaran dalam pelayaran kearah mendapat Cinta dari Ilahi iaitulah dengan mencintai Nabi S.A.W melebihi dari  setiap makhluk ciptaan Allah termasuklah dirinya sendiri.

Segala kebenaran datanganya hanya dari Allah SWT semata. Bersama-samalah kita bersyukur kepada-Nya di atas kurnian yang tidak terhingga iaitu dipilih menjadi ummat Kekasih-Nya Muhammad yang membawa rahmat buat sekalian alam . Ya Hanana BiMuhammad Ya Allah... 

SIRI 1: Mengapa Perlu Kita Berselawat?

Allah SWT telah merintahkan kita, sepertimana yang disebut dalam Firman-Nya:

" Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya sentiasa berselawat keatas Nabi, Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu keatasnya Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya". Al-Ahzab ayat:56 

Inilah salah satu dalil daripada Al-Quran yang menunjukkan bahawa bertapa mulianya Nabi kita disisi Allah SWT sehingga Allah telah memberitahu kepada kita tentang diri-Nya yang telah berselawat keatas Nabi dan sekalian para Malaikat-Nya juga berselawat keatas Nabi, maka penghormatan yang telah diberikan oleh Allah menjadi dalil  kewajipan serta tuntutan berselawat keatas Baginda S.A.W kepada kita.
Allah Hu Akbar...

Telah berkata Imam Al-'Arif Al-Shaawi di dalam Hasyiah-nya mengenai Kitab Tafsir Jalalain mengenai ayat 56 dari surah Al-Ahzab ini:

" Di dalam ayat tersebut tersirat satu dalil yang sangat besar, bahawa Rasulullah S.A.W adalah tempat curahan rahmat dari pada Allah dan makhluk yang paling utama secara mutlak. Sebab selawat daripada Allah adalah Rahmat-Nya yang disertakan ta'zim, sedangkan selawat dari Allah kepada selain Baginda adalah rahmat semata-mata, berdasarkan firman-Nya:

" Dia-lah yang memberi rahmat kepadamu dan malaikat-Nya (memohon ampun untukmu) supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya yang terang." Al-Ahzab ayat 43. 

Tiliklah perbezaan antara kedua-dua selawat tersebut dan keutamaan antara keduanya. Selawat daripada malaikat merupakan doa untuk Nabi dengan cara yang khusus dan inipun menunjukkan ianya termasuk rahmat yang disertakan ta'zim. Dengan demikian bertambah rahmat kepada nabi, yang kesemuanya itu mengikut rahmat Allah, lantas Baginda S.A.W menjadi tempat turunnya rahmat dan sumber tajalli dari Allah untuk sekalian makhluk-Nya sepertimana yang telah kita ketahui bahawa Rasulullah itu adalah rahmat dari Allah untuk sekalian alam. 
bersambung.....